Wednesday 9 December 2009

Syarat menjadi Imam dan Makmum

Syarat-syarat sah untuk seseorang itu menjadi Imam :

1) Islam, tidak sah solat yang diimamkan oleh seseorang yang kafir.

2) Berakal, tidak sah solat yang diimamkan oleh seseorang yang gila. Ini kerana, solat yang dilakukan oleh orang yang disahkan gila tersebut tidak sah. Tetapi jika gila itu bermusim maka solat ketika dia sihat sah tetapi adalah dibenci. Ini kerana dikhuatiri penyakit gilanya itu berulang ketika dia menunaikan solat.

3) Baligh, tidak sah solat yang diimamkan seseorang mumaiyiz kepada seorang yang baligh di dalam solat wajib dan sunat. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas dan Ibn Mas’ud, “Janganlah diimamkan solat itu oleh seorang budak sehingga dia baligh.” Ini kerana solat itu adalah dalam keadaan sempurna sedangkan budak atau kanak-kanak itu bukan daripada ahli yang sempurna.Imam Syafie berpendapat, harus orang yang baligh menjadi makmum kepada imam yang belum Mumaiyiz. Ini berdasarkan apa yang diriwayatkan daripada Amr bin Salamah: Aku telah mengimamkan solat di zaman Rasulullah s.a.w sedang aku adalah anak yang baru berumur tujuh tahun. (Riwayat Bukhari)

4) Lelaki yang sejati sekiranya yang menjadi makmum itu adalah lelaki.Tidak sah solat yang diimamkan oleh seorang perempuan atau khunsa bagi makmum lelaki sama ada solat fardu atau sunat. Sekiranya yang menjadi makmum itu perempuan semata-mata maka tidak disyaratkan lelaki menjadi imam bagi jemaah tersebut.

5) Bersih daripada hadas dan kekotoran. Tidak sah menjadi imam yang berhadas atau orang yang terdapat najis pada badannya, pakaiannya sama ada dia mengetahui hal tersebut atau lupa.

6) Baik bacaannya dan mengetahui rukun-rukunnya.Seseorang imam hendaklah baik bacaannya kerana solat tidak sah melainkan dengan bacaan dan mengetahui rukun-rukun solat. Tidak sah seseorang qari menjadi makmum kepada seseorang yang buta huruf (jumhur) dan wajib bagi qari mengulangi solatnya. Seperti mana keadaannya tidak menjadi makmum kepada seseorang yang tidak mampu rukuk, sujud atau tidak boleh duduk ataupun tidak mampu mengadap kiblat.

7) Keadaan yang bukan makmum.Tidak sah solat makmum mengikut makmum lain sebagai imam. Mengikut seseorang yang sudah terputus dengan imamnya disebabkan masbuk:i- Al-Hanafiah: tidak harus menjadi seseorang masbuq itu sebagai ikutan kerana dia telah mengikut (makmum). Oleh yang demikian, yang diikut tidak boleh diikuti.ii- Al-Malikiah: tidak harus menjadikan seseorang yang masbuk itu sebagai ikutan kerana dia tadi mengikut (makmum). Namun adapun yang mudrik (tidak sempat rakaat bersama imam boleh diikuti apabila dia bangkit untuk menunaikan solatnya dan hendaklah mudrik yang tidak sempat rakaat tadi berniat menjadi imam. Kerana ketika itu dia sedang solat berseorangan dan tidak thabit hukum makmum.iii- Al-Syafieyyah: terputus ikutan / menurut imam dengan semata-mata keluarnya imam dari solat sama ada dengan memberi salam atau dengan sebab terbatalnya wuduk. Ini kerana terkeluarnya dari ikatan di antara imam dan makmum maka pada ketika itu dia boleh mengikuti orang lain yang ganti imam atau orang lain yang mengikutnya sebagai imam.Kesimpulannya : al-Hanafiah dan Malikiah tidak mengharuskan mengikut seseorang yang asalnya mengikut selepas imam memberi salam, dan harus pada Al-Syafieyyah dan al-Hanabilah. Ini adalah lebih utama.

8) Syarat khas pada al-Hanafiah dan al-Hanabilah: sejahtera daripada keuzuran.Tidak lawas ketika buang air, kerap terkentut dan batuk makruh ke atas orang yang mempunyai penyakit-penyakit ini menjadi imam. Sekiranya seseorang yang mempunyai satu keuzuran adalah lebih utama menjadi imam daripada orang yang mempunyai dua keuzuran.Adapun pendapat al-Malikiah tidak mensyaratkan syarat ini tetapi dihukum makruh menjadi imam selagi mana tidak terbatal wuduknya.Begitu juga pendapat bagi Al-Syafieyyah tidak mensyaratkan syarat ini dan sah menjadi imam orang yang mempunyai keuzuran ini dan tidak perlu mengulangi solat tersebut.

9) Imam mesti seorang yang fasih al-lisan.Mampu menyebut huruf-huruf di dalam al-Quran dari makhrajnya.

10) Al-Hanafiah dan Al-Syafieyyah mensyaratkan supaya solat itu diimamkan oleh orang yang bermazhab yang sama dengan makmum.Sekiranya seseorang yang bermazhab Hanafi solat di belakang seorang imam bermazhab Syafie yang mengalir darah pada tubuhnya dan tidak berwuduk selepas itu atau solat seorang yang bermazhab Syafie di belakang seseorang bermazhab Hanafi yang menyentuh perempuan dan tidak berwuduk, maka solat makmum itu batal kerana setiap mazhab melihat kepada batalnya solat imam itu tadi.Al-Hanafiah berpendapat solat di belakang imam yang bermazhab Syafie adalah makruh.

ADAB-ADAB MAKMUM

1. Makmum hendaklah ke masjid atau surau seberapa segera dan sebaik-baiknya sebelum azan dikumandangkan. Maka dia akan banyak memperolehi pahala dalam menunggu, iktikaf dan solat sunat. Itulah yang dikatakan menunggu solat mendapatkan pahala seperti solat.
2. Segera berdiri apabila bilal mengucapkan iqamah dan memberikan makluman agar membentuk shaf. Hendaklah berusaha agar mendapatkan shaf pertama dan tempat utama kalau masih memungkinkan. Apabila shaf utama sudah penuh, hendaklah memenuhkan pula shaf berikutnya dengan memulakan dari bahagian tengah. Begitulah seterusnya sehingga tidak terbentuk suatu shaf baru, melainkan shaf dihadapannya sudah penuh dan rapat.

3. Hendaklah bertenang, memusatkan fikiran kepada Allah sementara menunggu imam mengangkat Takbiratul Ihram. Dalam keadaan seperti itu, sesetengah orang mengucapkan Ushalli�dan sebagainya untuk membantunya memusatkan fikiran sebelum memulakan solat tersebut.

4. Apabila imam telah selesai mengangkat Takbiratul Ihram, makmum hendaklah segera mengangkat Takbirratul Ihram juga agar mendapat fadhilat Takbiratul Ihram bersama imam yang utama. Oleh itu bagi yang biasa membaca Ushalli� sebelum bertadbir, sebaiknya dibaca sebelum imam bertadbir atau bersama-sama imam. Hanya jangan mengangkat Takbiratul Ihram terlebih dahulu sebelum imam betul-betul telah selesai Takbirtaul Ihram. Jika telah selesai imam bertakbiratul Ihram, makmum baru membaca audzu�bismillah�dan ushalli�, maka sudah terlepas dari mendapat Takbiratul Ihram bersama imam yang utama.

5. Hendaklah makmum merendahkan suaranya sekadar yang hanya didengari oleh dirinya sendiri agar tidak mengganggu jemaah yang lain. Sama ada ketika membaca Ushalli, doa, iftitah, fatihah, takbir intiqal dan lain-lain.

6. Hendaklah makmum mendengar bacaan imam seperti Fatihah dan surah. Dikehendaki pula agar makmum ikut membaca fatihah imam di dalam hatinya, untuk menambah kekusyu'an.

7. Makmum hendaklah mengerjakan ruku', iktidal, sujud, bangun dari sujud, duduk di antara dua sujud dan sebagainya setelah imam mengerjakannya. Contohnya jika imam hendak sujud, biarlah sujudnya sempurna iaitu dahi telah mencecah lantai, barulah makmum boleh bergerak. Demikian juga makmum hendaknya mengucapkan takbiratul ihram setelah imam mengucapkannya. Rasulullah s.a.w.memberikan amaran kepada makmum yang mendahului imam ketika mengangkat kepalanya dari sujud. Beliau bersabda ertinya: "Apakah tidak takut orang-orang yang mengangkat kepalanya sebelum imam, bahawa akan dipusing oleh Allah kepalanya menjadi kepala keldai?." (Bukhari & Muslim dari Abu Hurairah)

8. Jika imam membuat kesalahan, hendaknya makmum menegurnya dengan bacaan tasbih "Subhanallah", jika makmum lelaki. Jika makmum perempuan dengan menepuk tangan seperti yang dibenarkan oleh syara'.

No comments:

Post a Comment